Part 1 - Kebajikan: Negeri Christchurch Ikut Islam.. M'sia?

Oleh Dr. Ubaidullah Mustaffa
Catatan Pengalaman: Christchurch Sebagai Contoh Negara Berkebajikan
Pengenalan

Saya dan keluarga tiba di New Zealand semasa musim luruh. Pada waktu itu cuaca tidak begitu sejuk lagi. Kerajaan New Zealand melalui agensi-agensi kebajikannya telah menemui saya di sebuah masjid di New Zealand untuk menghulur bantuan sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.

Saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja tiba dari Malaysia dan rumah saya kosong tanpa perabut, katil dan tiada peralatan dapur. Tiga hari kemudian badan kebajikan milik kerajaan New Zealand telah menghantar ke rumah saya satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24”, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan mangkuk, sudu, pisau dan bermacam-macam lagi.

Tidak pun sampai seminggu rumah saya lengkap segala-galanya secara percuma pemberian kerajaan New Zealand. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Terkenang saya pada negara sendiri. Tidak pernah saya menerima bantuan dan layanan seperti itu walau pun di negara sendiri. Kerajaan kita banyak bercakap tentang konsep negara kebajikan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sama dengan konsep yang dicanangkan.

Elok juga kita mengkaji New Zealand sebagai salah satu model negara kebajikan terhadap rakyat. Oleh kerana New Zealand agak luas maka saya akan memilih bandaraya Christchurch sebagai contoh dalam perbincangan model negara kebajikan.
Christchurch

Christchurch adalah sebuah bandaraya terbesar di Pulau Selatan New Zealand dalam Daerah Canterbury. Jika dibandingkan dengan seluruh New Zealand Christchurch adalah bandaraya kedua paling ramai penghuni di New Zealand iaitu hampir 864 orang setiap kilometer persegi.

Perbualan saya dengan penduduk tempatan Christchurch mendapati kejadian gempa bumi bukan perkara biasa di sepanjang kehidupan mereka di Christchurch. Walau pun New Zealand berada dalam garisan lingkaran api bersama-sama dengan Indonesia dan Jepun tetapi Christchurch tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga kejadian pertama gempa bumi pada bulan September 2010.

Bantuan kerajaan


Kerajaan New Zealand membantu secara konsisten setiap rakyat mereka yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka membina rumah-rumah di luar kawasan gempa bumi dan mempelawa rakyat mereka untuk menyewa dan terus membeli rumah-rumah tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa.

Rancangan penempatan semula disusun dan dikawal dengan rapi. Tidak ada individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menangguk di air keruh. Harga rumah akan melambung tinggi sekiranya terdapat ahli politik atau kroni mereka yang mendapat kontrak untuk membina rumah-rumah penempatan semula gempa bumi.

Mari kita perhatikan apa yang telah berlaku di negara kita semasa bencana tsunami dan banjir dahulu. Bantuan lambat sampai dan proses bantuan tidak konsisten. Bantuan yang dihulurkan berbentuk jangka pendek sahaja dan tidak menyeluruh. Kerajaan Malaysia menganggap bencana alam negeri-negeri di bawah pimpinan pembangkang bukan tanggungjawab mereka.

Kerajaan New Zealand sanggup melupakan segala perbezaan politik apabila menghadapi bencana alam. Kerajaan New Zealand sangat sayang setiap rakyat mereka tanpa megira ugama atau bangsa. Kewujudan perasaan kasih sayang ini adalah perbezaan besar di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan New Zealand di dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.

Apabila wujud perasaan kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan akan diterjemahkan dalam setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan. Tanpa kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan hanya wujud sebagai konsep sahaja. Kerajaan akan menindas rakyat secara sah dari segi perlembagaan dan perundangan seperti mana di buat oleh penjajah semasa zaman penjajahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dijajah dan ditindas oleh rakyat negara kita sendiri yang telah dipilih melalui sistem pilihanraya. Setelah mereka diberi kuasa melalui pilihanraya mereka akan mula menjajah dan menindas rakyat yang telah memberi mereka kuasa. Sikap ini mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau kedua-duanya sekali. Maka perlu ada satu sistem check & balance supaya kerajaan yang dipilih tidak akan menjajah dan menindas rakyat mereka sendiri.

Pada 4 September 2010, Christchurch digegarkan oleh gempa bumi berukuran 7.1 iaitu hari Sabtu pukul 4.35 pagi waktu tempatan. Gempa bumi ini tidak menyebabkan kematian kerana pusat gempa adalah 40 km di luar bandaraya Christchurch, hanya kerosakan sistem paritan, paip air, jalanraya dan gangguan bekalan letrik sahaja.

Hospital Christchurch terpaksa menggunakan generator kerana bekalan letrik terputus pada waktu itu. Darurat dan perintah berkurung telah diistiharkan untuk menjaga keselamatan dan kerja-kerja pengosongan bangunan di sekitar bandaraya Christchurch. Lapangan terbang antarabangsa Christchurch ditutup sementara menanti pemeriksaan keselamatan jalan pendaratan dan perlepasan kapalterbang.

Dalam tempuh 48 jam selepas itu terdapat tiga lagi gempa bumi berukuran 5.2 berlaku di Christchurch. Mengikut pengalaman saya, gempa bumi 5.2 adalah cukup kuat untuk merasai seluruh rumah bergegar dan cukup kuat untuk mengejutkan saya sekeluarga dari tidur yang nyenyak.

Selalunya gempa bumi datang bersama-sama dengan bunyi yang kuat seperti bunyi keretapi kargo membawa muatan berat. Perbezaannya ialah bunyi gempa bumi amat menakutkan kerana bunyi itu dikaitkan dengan kebinasaan dan kematian. Jika gempa bumi lebih kuat berlaku kita akan terdengar bunyi letupan kuat seperti letupan bom berlaku serentak dengan gegaran bumi.

Gempa bumi yang berlaku beberapa saat mungkin tidak sempat meruntuhkan sebuah bangunan kuat, tetapi jika berlaku beberapa minit maka bahan binaan bangunan akan menjadi longgar dan runtuh. Kadang-kadang mentol lampu gugur dari siling ke lantai setelah beberapa hari gempa bumi berlaku.

Penduduk tempatan memberitahu saya, jika gempa bumi berlaku melebihi 10 saat, lebih baik mengajak ahli keluarga berlindung di bawah meja untuk mengelak dari ditimpa bahan binaan yang runtuh. Elok juga menyediakan lampu suluh selalu kerana jika bekalan letrik terputus, mangsa gempa bumi tidak tinggal dalam kegelapan. Saya tidak menyediakan lampu suluh kerana telefon bimbit saya memang mempunyai lampu suluh. Gempa bumi berukuran kecil selalu dapat dirasai di Christchurch.

Gempa kedua

Gempa bumi yang kedua berukuran 6.3 berlaku di Christchurch pada 22 Febuari 2011, jam 12.51 petang. Dari segi ukuran gempa bumi ini tidak sekuat gempa bumi pada bulan September 2010 iaitu 7.1 tetapi gempa bumi inilah yang banyak meragut nyawa serta memberi kerosakan yang teruk pada Christchurch.

Gempa bumi ini kena tepat pada pusat Bandar Christchurch dan sekaligus meranapkan pusat Bandar Christchurch yang menjadi pusat utama ekonomi dan pelancongan Christchurch. Yang tinggal hanyalah bandar-bandar kecil yang dahulunya menyokong bandaraya utama Christchurch seperti Riccarton, Tower Junction, Addington dan Bush Inn.

Gempa bumi ini kuat kerana pusat gempa bumi berlaku sangat dekat dengan bandaraya Christchurch iaitu di Lyttelton yang terletak hanya 10 km dari bandaraya Christchurch pada kedalaman hanya 5 km dalam perut bumi. Kesannya ialah gegaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan bangunan runtuh menghempap dan menimbus manusia hidup-hidup.

Persatuan Islam

Persatuan Islam Canterbury yang berpusat di Masjid Annur menghulur bantuan tenaga dan wang ringgit untuk kerja-kerja menyelamat di tempat runtuhan. Kebetulan pula Masjid Annur terletak dalam kawasan pusat perdagangan utama Christchurch iaitu di Deans Avenue bersebelahan Hagley Park yang menjadi kebanggaan penduduk Christchurch.

Kalau penduduk di London berbangga dengan Hyde Park maka penduduk Christchurch sangat berbangga dengan Hagley Park. Kawasan Central Business District di Christchurch terletak dalam kawasan yang di kelilingi oleh Bealey Avenue, Fitzgerald Avenue, Moorhouse Avenue dan Deans Avenue.

Masjid Annur mempunyai tanah kosong lebih kurang setengah ekar yang dicadangkan untuk membangun bilik-bilik sewa untuk musafir Islam yang merantau ke Christchurch dan juga pusat pengajian Quran, Hadis dan Tahfiz. Setakat ini Masjid Annur sedang menanti sumbangan tempatan dan juga antarabangsa untuk membuat pembangunan tersebut.

Apa yang menarik dan istimewa ialah Masjid Annur memberi izin kepada mangsa gempa bumi untuk mendapat perlindungan di tanah kosong masjid dengan mendirikan khemah-khemah serta menyediakan makanan percuma pada mangsa. Harga makanan siap di Christchurch adalah agak mahal tetapi hasil sumbangan derma umat Islam Christchurch dan mereka masak sendiri untuk menjamu mangsa gempa bumi membuatkan kos makanan rendah serta ramai mangsa mendapat manfaat tanpa mengira ugama atau bangsa.

Namun begitu terdapat satu siaran TV swasta yang menyiarkan berita negatif tentang penganiayaan orang Arab Kristian di Mesir oleh orang Islam Arab Mesir. Terdapat juga pelekat kereta yang berbunyi PRAY FOR OUR CHRISTIAN BROTHERS IN EGYPT, yang menghasut orang ramai dengan menggunakan sentiment ugama.

Boleh dikatakan masyarakat New Zealand tidak gemar bermain sentimen ugama atau bangsa kerana kedua-dua sentimen ini boleh mencetus huru-hara dan pergaduhan. Kesannya ialah semua pihak akan rugi.
Tiada anjing liar

Saya dan keluarga dapat beriadah di Hagley Park tanpa perlu takut dikejar oleh anjing liar. Saya juga dapat berjalan kaki ke Masjid Annur awal pagi untuk berjemaah subuh tanpa perlu bimbang diserang hendap oleh kumpulan anjing liar. Apa yang saya perhatikan ialah Christchurch sangat menjaga keselamatan bandaraya Christchurch dari gangguan bahaya anjing liar. Tidak ada anjing liar walau pun seekor.

Keistimewaan bandaraya Christchurch ini tidak dapat kita nikmati di Malaysia. Walau pun mengalami bencana gempa bumi yang kuat tetapi masalah anjing liar masih dapat dibasmi terus.

Masalah anjing liar perlu dibasmikan kerana anjing liar adalah punca kepada penyakit anjing gila dan juga serangan merbahaya kepada manusia terutamanya kepada kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir setiap taman perumahan di negara kita mempunyai masalah anjing liar yang tidak dibasmikan. Masalah anjing liar tidak boleh dikawal lagi tetapi perlu dibasmikan demi keselamatan awam. Kejayaan bandaraya Christchurch membasmi masalah anjing liar perlu dicontohi oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara kita.

Kakitangan PBT yang terlibat dalam pembasmian anjing liar perlu dibawa ke bandaraya Christchurch untuk melihat sendiri dan merasai sendiri betapa aman dan damainya keadaan tanpa anjing liar berkeliaran. Barangkali selepas merasai sendiri betapa selamatnya suasana kehidupan tanpa bahaya anjing liar akan timbul sifat kesungguhan untuk membasmi anjing liar di kawasan PBT masing-masing.
Makanan murah

Walau pun harga makanan siap di Christchurch adalah mahal tetapi harga bahan mentah makanan masih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Harga daging lembu dan kambing segar lagi berkualiti masih rendah dari harga di Malaysia. Segala jenis sayuran di Christchurch adalah segar dari ladang dan yang istimewanya ialah harga segala jenis sayuran adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Bagaimanakah Christchurch dapat mengeluarkan bahan makanan yang murah berbanding dengan negara kita?

Jawapannya terletak kepada cara Christchurch mengeluarkan hasil pertanian. Christchurch tidak mengamalkan sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu dan daging kambing tetapi menggunakan sistem pertanian pastoral yang canggih.

Sistem feedlot yang menjadi pilihan kepada cara pengeluaran hasil ternak di Malaysia sebenarnya mempunyai kos yang tinggi berbanding dengan system pertanian pastoral. Sistem pastoral memberi makanan yang lebih asli, segar dan sihat kepada ternakan berbanding dengan makanan dalam sistem feedlot.

Masalah kekurangan keluasan tanah boleh diimbangi dengan menggunakan pastoral bermutu tinggi serta pengurusan pastoral yang berkesan. Penyelidikan pertanian yang telah saya lakukan di beberapa ladang dalam daerah Canterbury menggunakan kaedah yang sama dalam teknik pengeluaran hasil ternakan. Yang penting di sini ialah input pertanian mesti rendah supaya output yang dihasilkan tidak terhakis oleh input yang tinggi.

Selepas membuat beberapa penyelidikan pertanian di Christchurch saya dapati cara pengeluaran hasil ternakan di Malaysia perlu direvolusikan iaitu menukar dari cara feedlot kepada pastoral.

Infrastruktur feedlot yang sedia ada tidak perlu dirobohkan kerana masih boleh digunakan
walau pun kita menggunakan sistem pastoral. Saya sempat menimba ilmu dari petani Christchurch tentang cara-cara menyediakan tanaman pastoral dan pemilihan benih untuk pastoral yang bermutu tinggi. Mereka juga telah mencurahkan ilmu mereka kepada saya tentang pengurusan pastoral secara saintifik demi menghasilkan livestock yang bermutu tinggi dan kos pengeluarannya pula adalah murah.

Pertanian adalah punca ekonomi utama Christchurch dan juga seluruh New Zealand. Negara New Zealand maju dalam industri Agribusiness tanpa perlu slogan yang bukan-bukan oleh pihak kerajaan New Zealand. Industri agribusiness di Malaysia perlu kepada sebuah revolusi berasaskan ilmu yang digabungkan dengan keperluan amali serta tuntutan pasaran semasa.

Jika tidak harga bahan makanan akan terus meningkat seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Apabila harga bahan makanan meningkat maka kerajaan sepatutnya mengkaji semula di mana salah silap serta membuat pembetulan dalam dasar pertanian negara. Jika sesat kembali ke pangkal jalan.

Musim sejuk


Christchurch terletak di hemisphera selatan bumi. Ini bermakna setiap tahun bulan Jun, Christchurch akan mengalami musim sejuk manakala negara-negara Eropah di hemisphera utara bumi sedang mengalami musim panas. Apabila musim sejuk tiba Masjid Annur akan menerima sumbangan baju sejuk dari orang ramai yang memerlukan baju sejuk percuma.

Segala jenis pakaian musim sejuk akan diletakkan dalam kotak tepi pintu keluar masjid. Sesiapa yang memerlukan pakaian boleh memilih untuk keperluan masing-masing. Selain dari pakaian terdapat juga umat Islam yang menyumbang buah tamar dan buah anggur untuk para Jemaah masjid.

Waktu subuh masuk pukul 6.15 pagi tetapi para Jemaah subuh menunaikan solat subuh jam 7.00 pagi. Masjid Annur penuh dengan para Jemaah subuh walau pun cuaca sangat sejuk dalam kegelapan pagi musim sejuk di Christchurch. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang sedang mengikuti kursus perubatan ikut serta menjadi Jemaah sembahyang subuh di Masjid Annur. Selain dari itu terdapat juga ahli Jemaah subuh dari Somalia, Mesir, Afrika dan juga Singapura.

Harga kereta murah


Satu lagi perkara yang menarik di New Zealand ialah harga kereta yang sangat murah berbanding dengan negara kita Malaysia. Harga kereta akan menjadi mahal apabila kerajaan gagal mengawal harga kereta dalam pasaran. Kereta merupakan keperluan rakyat dan bukan barang mewah. Setiap rakyat memerlukan kenderaan untuk bergerak.

Kerajaan New Zealand menyedari hakikat ini lantas mengawal harga kenderaan supaya semua rakyatnya mampu membeli kenderaan. Kesannya ialah rakyat New Zealand jarang-jarang menjadi penghutang bank untuk membeli kereta kerana mereka mampu membeli kereta secara tunai.

Ramai pelajar Malaysia di New Zealand telah membeli kereta secara tunai. Mereka dapat pergi belajar di Universiti dengan selesa serta mengatur jadual waktu pengajian dengan lebih berkesan. Malangnya, apabila mereka kembali ke Malaysia kelak mereka pasti akan terjebak dengan masalah harga kereta yang mahal di Malaysia serta terpaksa berhutang dengan institusi kewangan untuk membeli kereta. Mereka akan dibebani hutang membeli kereta selama 5 tahun hingga 7 tahun. Jelas sekali negara kita Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN gagal untuk menangani isu harga kereta yang melambung tinggi.

Kerajaan sedia ditegur
Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kerajaan New Zealand bersedia menerima teguran dari rakyat. Mereka amat mengalu-alukan teguran dan pendapat rakyat. Kerajaan New Zealand tidak pernah ugut rakyat mereka untuk ditahan polis atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kerajaan New Zealand tidak menggunakan instrument kerajaan untuk membalas dendam terhadap rakyat atau mengajar rakyat. Demonstrasi jalanan berlaku juga di Auckland dan Christchurch tetapi kerajaan New Zealand melayan petunjuk perasaan dengan baik. Tidak ada petunjuk perasaan ditembak gas pemedih mata atau water cannon.

Tidak ada peperangan antara kerajaan dengan rakyat. Kerajaan New Zealand sangat menghormati perasaan seluruh rakyat mereka. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi sikap murni ini. Sikap murni ini dapat menjalin kasih sayang antara kerajaan dengan rakyat dan bukan permusuhan atau dendam kesumat. Perlu diingat bahawa anggota kerajaan juga adalah rakyat dan rakyat yang memilih mereka menjadi anggota kerajaan. Perhubungan antara kerajaan dan rakyat perlu berasaskan kasih sayang dan bukan perundangan semata-mata.

Kesimpulan


Christchurch adalah sebuah bandaraya yang agak malang kerana dilanda bencana gempa bumi. Walau pun begitu rakyatnya cepat bangun dari runtuhan gempa bumi untuk meneruskan kehidupan. Sekarang ini Majlis Bandaraya Christchurch sedang mengedarkan risalah pada semua penduduk Christchurch meminta pandangan dan maklumbalas terhadap pembinaan bandaraya baru Christchurch. Mereka meminta pandangan dari rakyat mereka untuk mengetahui apa yang rakyat mahu ada dalam bandaraya baru yang bakal dibina tidak lama lagi.

Mereka menghadapi bencana dalam kata sepakat dan kerjasama yang sangat indah untuk bangun semula membina kehidupan baru. Mereka faham bahawa dalam runtuhan gempa bumi itu ada rahmat dan peluang yang sedang menanti mereka. Rahmat dan peluang akan datang ke Christchurch bagi mereka yang sabar dan bijak membina peluang selepas runtuhan gempa bumi.

Kerajaan New Zealand melibatkan rakyat dalam proses pembangunan negara dan mereka tidak memaksa rakyat menerima pembangunan ciptaan kerajaan semata-mata. Penglibatan rakyat diperlukan kerana rakyat adalah pelanggan utama kerajaan. Penglibatan rakyat secara menyeluruh sebenarnya adalah salah satu resipi utama di dalam mewujudkan sebuah negara kebajikan.

Semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu beliau melibatkan rakyat semasa melancarkan projek Proton Saga sebagai kereta buatan Malaysia walau pun semua rakyat Malaysia tahu bahawa kereta buatan Malaysia hanya gimik pada nama sahaja. Rakyat Malaysia sangat gembira melibatkan diri dengan pertandingan memberi nama pada kereta tersebut.

Setelah itu Dr. Mahathir membina Putrajaya tanpa penglibatan rakyat. Maka berlaku penolakkan oleh rakyat sebagai projek membazir dengan tuduhan untuk kenyangkan para krooni dan ahli-ahli politik yang menyokong kerajaan. Tuduhan tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar tetapi kebarangkalian tetap wujud dalam mana-mana projek pembangunan. Lebih-lebih lagi rakyat melihat ahli-ahli politik penyokong kerajaan menjadi kaya raya dalam sekelip mata.

Hampir semua kerajaan di dunia ini akan mencanangkan konsep negara kebajikan sebagai modal kempen politik untuk menang pilihanraya tetapi rakyat akan menilai siapa yang mempunyai kasih sayang dan keikhlasan jiwa untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

Rakyat akan menilai sejauh manakah kerajaan Malaysia yang memimpin negara sekarang benar-benar jujur dalam pelaksanaan negara kebajikan. Rakyat sudah muak mendengar janji manis dan mahu melihat perubahan yang relevan ke arah pembinaan negara kebajikan demi faedah rakyat bersama.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Negara Islam adalah sebuah negara kebajikan. Negara yang mementngkan kebajikan rakyatnya. Lihat pemerintahn di zaman Khalifah Ar-Rasyidin. Kalau negara orang bukan Islam mengambil ciri-ciri kebajikan dalam negaranya bererti ia ikut Islam dan mengambil manfaat dari kebaikan yang ada dalam Islam. Malang bagi negara orang Islam yang tidak memanfaatkan kebaikan Islam untuk rakyatnya. Termasuk Malaysia...

PENULIS

Penulis kini tinggal di Christchurch, New Zealand. Beliau boleh dihubungi melalui email ubaidi_script@yahoo.com.my. (IH)


Rahsia senyum Rasulullah

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjUA8Tu4Pe0XjmvZEOpRTPAxtU1nkToFBdoz8_AijxLQVAaezksGrFdTiQu_vB2gBAH3tdHY0dggdQ-IH5yUPSkprX9U3ZCJ86DgmySEZY5-kQLCkquSXfxjFZkiTCVG1lJAcyyvL1WzTA/s400/senyum2.jpg
Ketika anda membuka lembaran sirah kehidupan Muhammad saw., anda tidak akan pernah berhenti kagum melihat kemuliaan dan kebesaran peribadi beliau saw. Sisi kebesaran itu kelihatan dari sikap seimbang dan selaras dalam setiap perilakunya, sikap beliau dalam menggunakan segala media untuk meluluhkan kalbu setiap orang dalam setiap kesempatan.

Media paling besar yang dilakukan Muhammad saw. dalam dakwah dan perilaku beliau adalah, gerakan yang tidak memerlukan kos yang besar, tidak memerlukan tenaga berlebihan, meluncur dari bibir untuk seterusnya masuk ke lubuk hati yang sangat dalam.

Jangan anda tanyakan keberkesanannya dalam mempengaruhi akal fikiran, menghilangkan kesedihan, membersihkan jiwa, menghancurkan tembok penghalang di antara anak manusia!. Itulah ketulusan yang mengalir dari dua bibir yang bersih, itulah senyuman!

Itulah senyuman yang dicatat dalam Al Qur’an tentang kisah Nabi Sulaiman as, ketika Ia berkata kepada seekor semut,

“Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”. An Naml:19
Senyuman itulah yang sentiasa keluar dari bibir mulia Muhammad saw., dalam setiap perilakunya. Beliau tersenyum ketika bertemu dengan sahabatnya. Semasa beliau menahan amarah atau ketika beliau berada di majlis peradilan sekalipun.

Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih Bukhari dan Muslim, berkata, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah saw tidak pernah menghindari dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.”

Suatu ketika Muhammad saw. didatangi seorang Arab Badwi, dengan serta merta ia berlaku kasar dengan menarik selendang Muhammad saw., sehingga leher beliau membekas merah. Orang Badwi itu bersuara keras, “Wahai Muhammad, perintahkan sahabatmu memberikan harta dari Baitul Maal! Muhammad saw. menoleh kepadanya lalu tersenyum. Kemudian beliau menyuruh sahabatnya memberi harta dari baitul maal kepadanya.”

Ketika beliau memberi hukuman keras terhadap orang-orang yang terlambat dan tidak ikut serta dalam perang Tabuk, beliau masih tersenyum mendengarkan alasan mereka.
Ka’ab ra. berkata setelah mengungkapkan alasan orang-orang munafik dan sumpah palsu mereka:
“Saya mendatangi Muhammad saw., ketika saya mengucapkan salam kepadanya, beliau tersenyum, senyuman orang yang marah. Kemudian beliau berkata, “Kemari. Maka saya mendekati beliau dan duduk di depan beliau.”

Suatu ketika Muhammad saw. melintasi masjid yang di dalamnya ada beberapa sahabat yang sedang membicarakan masalah-masalah jahiliyah terdahulu, beliau lewat dan tersenyum kepada mereka.

Beliau tersenyum dari bibir yang lembut, mulia nan suci, sampai akhir detik-detik hayat beliau.
Anas bin Malik berkata diriwayatkan dalam sahih Bukhari dan Muslim, “Ketika kaum muslimin berada dalam solat subuh, di hari Isnin, sedangkan Abu Bakar menjadi imam mereka, ketika itu mereka dikejutkan oleh Muhammad saw. yang membuka hijab bilik Aisyah. Beliau melihat kaum muslimin sedang dalam shaf shalat, kemudian beliau tersenyum kepada mereka!”

Sehingga tidak menghairankan beliau mampu meluluhkan kalbu sahabat-sahabatnya, isteri-isterinya dan setiap orang yang berjumpa dengannya!

Menyentuh Hati

Muhammad saw. telah meluluhkan hati siapa saja dengan senyuman. Beliau mampu “menyihir” hati dengan senyuman. Beliau menumbuhkan harapan dengan senyuman. 
Beliau mampu menghilangkan sikap keras hati dengan senyuman. Dan beliau saw. mensunnahkan dan memerintahkan umatnya agar menghiasi diri dengan akhlak mulia ini. 
Bahkan beliau menjadikan senyuman sebagai tempat berlumba dalam kebaikan. Rasulullah saw. bersabda,
“Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.” At Tirmidzi dalam sahihnya.

Meskipun sudah sangat jelas dan terang petunjuk Nabi dan praktik beliau secara terus ini, namun anda masih banyak melihat sebahagian manusia masih berlaku keras terhadap anggota keluarganya, tehadap rumah tangganya dengan tidak melebarkan senyuman dari bibirnya dan dari ketulusan hatinya.

Anda merasakan bahawa sebahagian manusia -kerana bersikap marah dan muka masam- mengira bahawa giginya bahagian dari aurat yang harus ditutupi! Di mana mereka di depan petunjuk Nabi yang agung ini! Sungguh jauh mereka dari contoh Nabi muhammad saw.!

Ya, kadang anda melepasi jam-jam anda dengan dirundung duka, atau disibukkan beragam pekerjaan, akan tetapi anda selalu bermuka masam, marah dan menahan senyuman yang merupakan sedekah, maka demi Allah, ini adalah perilaku keras hati, yang semestinya tidak terjadi. Wal iyadzubillah.

Pengaruh Senyum

Sebahagian manusia ketika berbicara tentang senyuman, mengaitkan dengan pengaruh psikologi terhadap orang yang tersenyum. Namun, seorang muslim memandang hal ini dengan kaca mata lain, iaitu kaca mata ibadah, bahawa tersenyum adalah bahagian dari mencontohi Nabi saw. yang disunnahkan dan bernilai ibadah.

Para pakar dari kalangan muslim mahup un non muslim melihat seuntai senyuman sangat besar pengaruhnya.

Dale Carnegie dalam bukunya yang terkenal, “Bagaimana Anda Mendapatkan Teman dan Mempengaruhi Manusia” menceritakan:

“Wajah merupakan cermin yang tepat bagi perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman semulajadi, senyum tulus adalah sebaik-baik media memperolehi teman dan kerja sama dengan pihak lain. Senyum lebih berharga dibanding sebuah pemberian yang dihadiahkan seorang lelaki. Dan lebih menarik dari lipstik dan bedak yang melekat di wajah seorang wanita. Senyum bukti cinta tulus dan persahabatan yang murni.”

Ia meneruskan, “Saya minta setiap mahasiswa saya untuk tersenyum kepada orang tertentu sekali setiap bandarnya. Salah seorang mahasiswa datang bertemu dengan peniaga, ia berkata kepadanya, “Saya pilih tersenyum kepada isteriku, ia tidak tahu sama sekali perihal ini. 
Hasilnya adalah saya menemui kebahagiaan baru yang sebelumnya tidak saya rasakan sepanjang akhir tahun-tahun ini. Yang demikian menjadikan saya senang tersenyum setiap kali bertemu dengan orang. 
Setiap orang membalas penghormatan kepada saya dan bersegera melaksanakan khidmat -pelayanan- kepada saya. Kerana itu saya merasakan hidup lebih ceria dan lebih mudah.”

Kegembiraan meluap ketika Carnegie menambahkan, “Ingatlah, bahawa senyum tidak memerlukan kos sedikitpun, malah membawa kesan yang luar biasa. Tidak akan menjadi miskin orang yang memberinya, justeru akan menambah kaya bagi orang yang mendapatkannya. Senyum juga tidak memerlukan waktu yang berlarutan, namun membekas kekal dalam ingatan sampai akhir hayat. Tidak ada seorang fakir yang tidak memilikinya, dan tidak ada seorang kaya pun yang tidak memerlukannya.”

Betapa kita sangat memerlukan sosialisasi dan penyedaran petunjuk Nabi yang mulia ini kepada umat. Dengan niat taqarrub ilallah -pendekatan diri kepada Allah swt.- lewat senyuman, dimulai dari diri kita, rumah kita, bersama isteri-isteri kita, anak-anak kita, teman sepejabat kita. Dan kita tidak pernah merasa rugi sedikit pun! Bahkan kita akan rugi, rugi dunia dan agama, ketika kita menahan senyuman, menahan sedekah ini, dengan selalu bermuka masam dan marah dalam kehidupan.

Pengalaman membuktikan bahawa kesan positif dan efektif dari senyuman, iaitu senyuman menjadi pendahuluan ketika hendak meluruskan orang yang keliru, dan menjadi muqaddimah ketika mengingkari yang munkar.

Orang yang selalu masam tidak mensengsarakan kecuali dirinya sendiri. Bermuka masam bererti mengharamkan menikmati dunia ini. Dan bagi siapa sahaja yang mahu menebar senyum, selamanya ia akan senang dan gembira. Allahu a’lam. Situslakalaka

Pemimpin yang dicari dan dirindui

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjnORov92z84tcx-A7xySok3bDO3qP6Dhri7oeCHYY0RnH3DR7iCWwajIMKLIc146E6qqHLm4Mnv7w0GBr5rnOrGzeIXmpPpngQciByeRuojrUamLMXzgERyPybbgm9fakbQIG7mm3Vvrk/s1600/MuhammadurRasulullah-1.jpg
Suatu ketika Rasulullah S.A.W bersama para sahabat selesai melaksanakan solat berjemaah, Umar bin Khattab yang berada di saf depan berasa terganggu fikirannya. 

Setiap gerakan Rasulullah S.A.W di depan para sahabat terasa berat dan sukar. Terdengar bunyi seolah sendi baginda saling bergesel antara satu sama lain. Solat kali ini terasa lebih lama dari biasa.

Selepas solat, Umar R.A yang begitu khuatir dengan keadaan Rasulullah mendatangi baginda. Dengan hati-hati Umar duduk di sisi beliau dan serta-merta beliau sambut dengan senyuman. 
 
“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah engkau sedang menanggung penderitaan yang sangat berat, sakitkah engkau, ya Rasul?” tanya Umar. 
 
Rasulullah S.A.W tersenyum sambil menggeleng, “Tidak wahai Umar, alhamdulilah aku sihat.”

“Mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuhmu, kami mendengar seolah-olah sendi tubuhmu saling bergeselan? Kami yakin engkau sedang sakit wahai Rasul.” Meskipun keadaannya agak lemah dan agak pucat, Rasulullah S.A.W tetap tersenyum.

Kerana jawapan “tidak” atau “aku baik-baik saja”, baginda rasakan sudah tidak cukup lagi, lalu Rasulullah S.A.W mengangkat jubahnya hingga ke bahagian perut. Seketika Umar dan sahabat terperanjat. 
 
Kelihatan perut baginda begitu kempis, perut itu dililit oleh kain yang berisi batu kerikil. Kerikil-kerikil ini yang menimbulkan bunyi ketika mengimami solat.

“Ya Rasul,” suara Umar bergetar oleh rasa hiba dan penyesalan, “Apakah jika engkau mengatakan engkau sedang lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan menyediakan dan menyiapkannya untuk engkau?”

Baginda menutup kembali perutnya dengan jubahnya seraya menatap Umar “Tidak, ya Umar. Aku tahu, apa pun kalian akan korbankan demi aku, akan tetapi apa yang akan aku katakan di hadapan Allah nanti jika sebagai pemimpin aku menjadi beban bagi umatku?”

Baginda mengedarkan pandangan kepada para sahabatnya yang lain seraya berkata, “Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah dari Allah untukku agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia, terlebih di akhirat.”

———————

Subhanallah, siapa pun yang mendengar kalimat baginda akan terdiam seketika, ada yang menangis, teresak dan terharu. Maha suci Allah yang telah mengutus seorang pemimpin yang begitu mulia akhlak dan perkataannya. 
 
Alangkah rindunya kita kepada pemimpin sebijaksana baginda yang tidak mahu membebani umatnya. Kelak pemimpin seperti inilah yang akan dinaungi oleh naungan Allah pada masa tidak ada naungan selain dariNya.Pendrive Hitam


Hari Raya Idul Fitri : Makna dan keutamaannya

 http://salafytobat.files.wordpress.com/2010/08/taqabbal.jpg?w=300
Rasulullah.saw bersabda : “Puasa dan Al-Qur'an akan memberi syafaat bagi hamba pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Ya Rabbi, aku mencegahnya makanan dan syahwat, maka berilah aku syafaat kerananya.' Al-Qur'an berkata, 'Aku mencegahnya tidur pada malam hari, maka berilah aku syafaat kerananya'. Beliau bersabda, 'Maka keduanya diberi syafaat',” (Diriwayatkan Ahmad)

Ketika mendengar kata Idul Fitri, tentu dalam benak setiap orang yang ada adalah kebahagiaan dan kemenangan. Dimana pada hari itu, semua manusia merasa gembira dan senang kerana telah melaksanakan ibadah puasa sebulan penuh.

Dalam Idul Fitri juga ditandai dengan adanya ”(balik kampung)” yang notabene hanya ada di Malaysia Selain itu, hari raya Idul Fitri juga kerap ditandai dengan hampir 90% mereka memakai sesuatu yang baru, mulai dari pakaian baru, kasut baru, motor baru, kereta baru, atau malah isteri baru (bagi yang baru berkahwintentunya...). 
Maklum sahaja kerana pusingan wang terbesar ada pada masa Lebaran. Kalau sudah demikian, bagaimana sebenarnya makna dari Idul Fitri itu sendiri. Apakah Idul Fitri cukup ditandai dengan sesuatu yang baru, atau dengan balik kampunguntuk bersilaturrahim kepada sanak saudara dan kaum keluarga?.


Idul Fitri, ya suatu hari raya yang dirayakan setelah umat Islam melaksanakan ibadah puasa Ramadhan satu bulan penuh. Dinamakan Idul Fitri kerana manusia pada hari itu laksana seorang bayi yang baru keluar dari dalam kandungan yang tidak mempunyai dosa dan salah.


Idul Fitri juga diertikan dengan kembali ke fitrah (awal kejadian). Dalam erti mulai hari itu dan seterusnya, diharapkan kita semua kembali pada fitrah. Di mana pada awal kejadian, semua manusia dalam keadaan mengakui bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan. 
Dalam istilah sekarang ini dikenali dengan ”Perjanjian Primordial” sebuah perjanjian antara manusia dengan Allah yang berisi pengakuan ketuhanan.
Allah.swt berfirman :

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ

"(Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhan-mu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lalai terhadap ini (keesaan Tuhan)”)"
. (al-A’raf  7 :172)

Seiring dengan perkembangan itu sendiri, banyak di antara manusia dalam perjalanan hidupnya yang melupakan Allah serta telah melakukan dosa dan salah kepada Allah dan kepada sesama manusia. 
Untuk itu, memahami kembali makna Idul Fitri (kembali ke fitrah) dengan membina semula pengabdian hanya kepada Allah adalah sebuah keharusan sehingga kita semua dapat menjadi hamba-hamba muttaqin dan hamba yang tidak mempunyai dosa. Dosa kepada Allah terhapus dengan jalan bertaubat dan dosa kepada sesama manusia dapat terhapus dengan silaturrahim.

Idul Fitri
atau kembali ke fitrah akan sempurna tatkala terhapusnya dosa kita kepada Allah diikuti dengan terhapusnya dosa kita kepada sesama manusia. Terhapusnya dosa kepada sesama manusia dengan jalan kita memohon maaf dan memaafkan orang lain.

(Dari al-Hasan bin Ali dan Muhammad bin al-Mutawakkil keduanya dari Abd al-Razaq dari al-Ma’mar dari al-Hasan dan Malik bin Anas dari al-Zuhri dari Abi Salamah dari Abi Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW senang melaksanakan
Qiyam Ramadhan (Tarawih) walaupun tidak mewajibkannya. 
Kemudian bersabda : ”Barangsiapa melaksanakan Qiyam ramadhan (tarawih) kerana Allah dan mencari pahala dari Allah akan diampuni dosanya yang telah lalu". Kemudian Rasulullah wafat, sedang masalah Qiyam Ramadhan tetap seperti sediakala pada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar.ra dan pada awal pemerintahan Sayyidina Umar bin Khattab.ra).

(Dari Muhammad bin Salam dari Muhammad bin Faudhail dari Yahya bin Sa’id dari Abi Salamah dari Abi Hurairah berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda :
"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan ramadhan dengan kepercayaan bahawa perintah puasa itu dari Allah dan hanya mengharap pahala dari Allah akan diampuni dosanya").

Dosa merupakan catatan keburukan di sisi Allah yang telah dilakukan oleh setiap manusia kerana mereka tidak menjalankan perintah atau kerana mereka melanggar larangan Allah dan RasulNya.


Bulan Ramadhan merupakan bulan khusus yang dikhususkan Allah untuk Umat Islam. Di bulan ini terdapat maghfirah, rahmah dan itqun minan nar. Selain itu, bulan Ramadhan juga menjadi sarana umat manusia untuk memohon dan meminta pengampunan dari Allah dengan jalan melaksanakan ibadah puasa dan solat tarawih


Syeikh Abdul Qadir al-Jailany
dalam al-Gunyah-nya berpendapat, merayakan Idul Fitri tidak harus dengan baju baru, tapi jadikanlah Idul fitri pesta tasyakur, refleksi diri untuk kembali mendekatkan diri pada Alah Swt. Masa mengasah kepekaan sosial kita. 
Ada suasana lain yang harus kita amati, betapa di masa kita berbahagia , saudara-saudara kita di tempat-tempat lain masih banyak menangis menahan lapar. Bersyukurlah kita!Syiar Islam



Tulahan : MERDEKA - Yang dibunuh, digantung, dipenjara, dibuang negara - Merekalah pejuang

Salam,

Kemerdekaan negara akan disambut 31 Ogos ini. Kali ini disensasikan dengan putar belit ceramah Timbalan Presiden PAS. Beliau bercakap perkara yang memang fakta sejarah, tapi putar belit melalui media massa pro UMNO menyebabkan orang ramai keliru.
Tapi ada baiknya, rakyat akan mencari maklumat sebenar kumpulan manakah yang benar-benar berjuang menuntut kemerdekaan  dan  kumpulan manakah yang mengambil jalan mudah mendapat kemerdekaan dengan memijak kumpulan yang lain?
Tak ramai yang naikkan jalur gemilang. Bukan tak patriotik tapi dok rasa kalau naikkan bendera macam sokong kerajaan B1N1.

Beberapa tahun dulu, penulis ada cipta pengkisahan sejarah kemerdekaan versi penulis. Penulis paparkan dalam blog ini untuk tatapan bersama.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgxGADgBTNUqWk_o-SSdc85hW63EsN22KqtPPLD2mtVKeNkMQOxDNHbWt-Ix2Ce5ya6OLk3D3mUiOJoFhnE0kCwB7ybkfEPObWhEWVE0QZP5XwKNhaJnj40fR4VTXlDKuV6J_PKz7LhiPud/s320/320px-Portugis.jpgPengkisahan Sejarah Kemerdekaan ini boleh dibaca di majlis-majlis rasmi kemerdekaan di sekolah, IPTdan Pejabat Kerajaan. Bacalah dengan intonasi suara yang bersemangat

 

24 Ogos 1511 - Setelah hampir 2 minggu mempertahankan bumi Melaka, akhirnya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan Melayu terulung di nusantara jatuh ke tangan Benggali Putih berbangsa Eropah Portugis.


Raja Ahmad putera Sultan Mahmud Syah gugur bersama beribu-ribu pejuang Melaka di medan berdarah.

Perjuangan mendapatkan semula Melaka bermula setelah kejatuhan Melaka. Sultan Mahmud Syah memimpin perjuangan mendapatkan kembali Melaka, namun A Famosa menjadi penghalang kemerdekaan Melaka.

http://fc06.deviantart.net/fs45/i/2009/273/a/1/Kota_A_Famosa_2008_by_since1993.jpg1641 - Setelah lebih 100 tahun bertapak di Melaka, akhirnya runtuh juga Kota Melaka, namun kemerdekaan Melaka masih tak tercapai jua kerana Belanda pula menjadi penguasa. Perjuangan memerdekakan Melaka terus menyala. Raja Ali Haji memimpin perjuangan suci merebut Melaka dari Belanda.

1784 - Peristiwa sedih di Teluk Ketapang, Melaka. Raja Ali Haji terkorban bersama pengikutnya di tangan Belanda. Melaka tetap belum merdeka.

1824 - Perjanjian Inggeris-Belanda, bumi Melaka ternoda lagi, bangsa Eropah membahagi Gugusan Kepulauan Melayu, satu untuk engkau, satu untuk aku. Begitu mudah sekali seolah-olah Kepulauan Melayu kepunyaan datuk nenek mereka. Inilah padah kuasa di tangan penjajah. Mereka memecahkan peta rumpun Melayu nusantara.

Setelah Sultan Abdullah, Sultan Kedah ditipu dan dihina Francis Light untuk mengambil Pulau Pinang pada 1786, kemudian Sultan Husein, Sultan Johor diperdaya Stamford Raffles untuk mengambil Singapura pada 1819, kini bangsa Inggeris mendapat habuan Melaka dari perjanjian ciptaan mereka, adilkah?.
 

1874 - Kekayaan bahan mentah membuka mata penjajah. Bijih timah dan minyak adalah kekayaan tidak terkira nilainya. Inggeris mula mencipta alasan campurtangan di negeri-negeri Melayu, seumpama Amerika mencipta alasan untuk menyerang Iraq.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg5myucbGSJbA15zKFEKXewyHo5iYhJaDVHd0G7JJrjgWqwvEFz9tvPH1C1-Vsr7as_vACwmo-thuSFCmtZBiZdw2vQs_eYVVU8x-3jhrBkq-CA554ft7Cm-ZsEsMtr9OGRTJshyib5jaE/s400/pangkor-treaty.jpgBermula dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 hingga 1895. Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi mangsa kerakusan Inggeris untuk menjadi kaya.

Bermula dari Perjanjian Burney pada 1826 hingga Perjanjian Bangkok pada 1909, Siam diugut dan menjadi mangsa tipu helah Inggeris mendapatkan negeri-negeri bunga emas Siam. Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dipaksa tunduk kepada Inggeris.

1914 - Hanya Johor kekal merdeka. Inggeris kehilangan alasan, ketiadaan punca. Paduka Sultan Ibrahim mula diperdaya menyingkirkan Dato’ Abd Rahman Andak, penghalang utama Inggeris berkuasa diJohor. Johor negeri terakhir ditakluk Inggeris.

Sejak pengambilan Pulau Pinang pada1786 hinggalah Johor pada 1914, semangat mendapatkan kemerdekaan terus membara di hati orang-orang Melayu.

Mereka sanggup mati, sanggup dipenjara, sanggup diseksa dan sanggup dibuang negeri, namun undur tidak sekali. Lawan tetap lawan, perjuangan tetap diteruskan.

Dato’Maharajalela dan Dato’ Sagor mati di tali gantung Inggeris di Matang, Perak.

Tok Janggut dibunuh dengan buluh runcing. Mayatnya diseksa, diarak dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah mengelilingi Pasir Putih, Kelantan.

Haji Abdul Rahman Limbong, 'Peguambela' rakyat Terengganu yang ditindas, dibuang negeri ke Mekah.

Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau diburu Inggeris dari Pahang sehingga ke Patani, Siam dan terpaksa menetap di sana.

Mereka ini adalah pejuang agama, pejuang bangsa dan pejuang tanahair. Mereka juga tokoh kemerdekaan. Namun darah mereka yang mengalir masih belum mampu membebaskan negeri-negeri Melayu dari belenggu penjajah.

Awal kurun ke–20 - Kesedaran untuk mendapatkan kemerdekaan dicetus kembali. Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abas Taha lulusan Al-Azhar, Mesir mencetuskan idea pembaharuan Islam melalui Kaum Muda.

http://arkib.gov.my/image/image_gallery?uuid=f4c17b7e-34eb-4175-a3bb-e33a6b29c406&groupId=20994&t=1251444659418Dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) lahir Ibrahim Haji Yaakub, pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM). Tuntutan kemerdekaan yang berani menjadi sebab Ibrahim Haji Yaakub dipenjara Inggeris Oktober1941, tetapi dibebaskan bila Jepun menjajah Tanah Melayu.

Desakan dan tuntutan janji kemerdekaan dari Jepun oleh Ibrahim Haji Yaakub menyebabkan Jepun mengotakan janji mereka.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhVfOuPBcX3MNXzo-Ty4F-7pOgzuxBLjLbJ6XAxa34RVXkzljl8eW7A45FhoLldBd06_Zoon42hNIZoiyMzn2-yVS6mXpiKfuSKcWOdniKud-BbHLFwThcdjPvRcthvxZpik7JQ_ZTdLhKo/s400/jepunberbasikal.jpgIbrahim Haji Yaakub bersama Sukarno dari Indonesia ke Jepun bagi merundingkan kemerdekaan bersama Indonesia dan Tanah Melayu dengan nama Negara Melayu Raya.

Sukarno pulang dan mengisytiharkan kemerdekaan oleh Jepun. Kemerdekaan sudah hampir kepada Tanah Melayu, namun bom atom Amerika ke atas Nagasaki dan Hiroshima memusnahkan segalanya. Ibrahim Haji Yaakub tidak sempat mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu.

1946 - Malayan Union diperkenalkan. Peluang Dato’ Onn mencetuskan kebangkitan orang-orang Melayu. Kongres Melayu SeMalaya mengumpulkan semua persatuan Melayu melahirkan umno. Tentangan orang-orang Melayu menguburkan Malayan Union.

April 1947 - PUTERA pimpinan Dr. Burhanuddin Helmi dan AMCJA pimpinan Tan Cheng Lock gabungan parti-parti politik Melayu dan Cina mengemukakan Perlembagaan Rakyat bagi mengantikan Malayan Union tetapi ditolak Inggeris kerana menjejaskan kepentingan Inggeris di Tanah Melayu.

Jun 1948 - Pengisytiharan darurat. Inggeris menggunakan kesempatan ini untuk menangkap pemimpin Melayu yang tidak disenangi Inggeris Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak HajiMuhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Ust. Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi disumbat ke penjara di bawah undang-undang kejam Inggeris.

Kini hanya umno 'anak didik British'  satu-satunya parti Melayu menjadi tempat pergantunggan orang-orang Melayu selepas banyak parti yang mendapat sokongan terbesar orang Melayu seperti PKMM, AWAS, API dan Hizbul Muslimin diharamkan dan ramai pemimpin Melayu ditangkap.

1955 - Pilihanraya umum pertama di Tanah Melayu, Perikatan gabungan umno, MCA dan MIC menang besar dalam pilihanraya ini. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pengganti Dato’ Onn yang meletak jawatan, memimpin umno dan menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu.

1 Jun 1956 - Tunku dan rombongan merdeka berangkat ke London dari Singapura menaiki kapal hingga Karachi dan kemudiannya menaiki kapal terbang ke London.

8 Feb 1957 - Tuntutan kemerdekaan dipersetujui dan ditandatangani di Lancester House, London antara Tunku dan Menteri Tanah Jajahan Inggeris, Alan Lennox Boyd, bagi pihak Inggeris. Suruhanjaya Reid merangka perlembagaan baru dibentuk.

21 Feb 1957 - Rombongan Tunku tiba di Padang Merdeka, Melaka dengan disambut puluhan ribu rakyat yang menunggu pengumumuman tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

9 Mei 1957 - Tunku sekali lagi pergi ke London untuk meneliti persiapan akhir kemerdekaan.

31 Ogos 1957 - 12.01 dinihari di Padang Kelab Selangor bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Inggeris Union Jack diturunkan buat kali terakhir dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu disaksikan ribuan penduduk.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSS94_zhJx8zueNSg-s6wm5sne0IJwWcLi79vu7BhkFLvZ77O7oQ059e41tDTGvzWi1TSJuN0LmCnWTdjNUIM7hbwo_Lp0lCN6Z3yeP34V6ja4bQcTRkaUBKxjkFxtnJPOs4Zuq3ih_ZY/s400/KL07_280207_KELAB+SULAIMAN.jpg8.00 pagi di Stadium Merdeka. Tunku sebagai Perdana Menteri Malaya di hadapan wakil Ratu Elezabeth, Duke Of Glouster, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris terakhir Donald Mac Gillivray, raja-raja Melayu dan orang kenamaan serta puluhan ribu rakyat mengisytiharkan Kemerdekaan Tanah Melayu yang berdaulat.


Wasalam.

Sejarah malam Lailatul Qadar : Kisah Syam'un berjuang selama 1000 bulan

 
Wujudnya Lailatul Qadar apabila Rasulullah berdoa kepada Allah setelah melihat kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang sentiasa menghunuskan pedang (berperang) membela agama Allah selama 1000 bulan (lebih kurang 83 tahun). Disebabkan terpegun akan kehebatan lelaki itu lalu baginda berdoa :

"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit, tetapi ganjarannya besar."
Kemudian Allah memakbulkan doa baginda dengan memberikan Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana jika seseorang menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari lelaki Bani Israil yang berjihad selama 1000 bulan itu.

Siapakah lelaki Bani Israil itu?
Dikatakan bahawa nama lelaki itu ialah Syam'un, berperang dengan musuh selama 1000 bulan, tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya dan sememangnya orang-orang kafir gerun untuk menghadapinya. 

Sehinggalah tiba satu pengkhianatan dari isteri beliau apabila ditawarkan oleh orang kafir sebuah bejana yang dipenuhi dengan emas jika berjaya mengikat suaminya itu.

Pada satu malam, niat isterinya yang khianat itu untuk mengikat suaminya dengan tali berjaya dilaksanakan. Namun, ketika Sya'mun sedar daripada tidur dan menggerakkan badannya semua tali itu putus dengan mudah.


Lalu beliau bertanya kepada isterinya : "Mengapa kau berbuat sedemikian?"

Lalu isterinya yang jahat itu menjawab: "Aku hanya ingin menguji kekuatanmu sahaja."

Isterinya menceritakan hal itu kepada orang-orang kafir. Segeralah mereka memberi rantai besi kepada isteri yang jahat itu untuk mengikatnya sekali lagi. Namun, ikatan besi pada badan Syam'un diputuskan dengan amat mudah sahaja. Apabila isteri beliau ditanya, dijawabnya jawapan yang sama.

Lalu menyamarlah Iblis sebagai manusia dan mendatangi orang-orang kafir dan isteri Syam'un yang sedang melaporkan gerak kerja yang gagal tersebut. 

Maka Iblis tersebut memberi cadangan agar isteri Syam'un bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu mengikatnya. "Helaian rambut yang tumbuh di dagu ku ini," jawab Syam'un dengan jujur kepada isterinya apabila ditanya.

Memang tidak dinafikan bahawa Syam'un mempunyai lapan helai janggut yang amat panjang hingga ke tanah. Ketika beliau tidur, si isteri mengikat kaki dan tangannya dengan kelapan-lapan janggutnya tersebut. 

Kemudian orang-orang kafir membawanya ke tempat penyeksaan dan penyembelihan yang amat luas dan tingginya 400 hasta dengan satu tiang. Maka bermulalah penyeksaan mereka dengan memotong kedua telinganya dan bibirnya.

Kemudian Syam'un memohon kepada Allah S.W.T agar memberinya kekuatan untuk memutuskan ikatan dan dapat merobohkan tempat penyeksaan tersebut. 

Allah mengkabulkan doanya dengan berjayanya Syam'un melepaskan diri dari ikatan itu dan berjaya merobohkan tempat itu dengan menolak tiang yang membuatkan tempat itu tidak stabil lalu runtuh menghempap semua orang kafir kecuali Syam'un sahaja yang terselamat.

[Kisah ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas]

Akhir kalam, adakah saudara tahu sejarah ini? Malulah kita beribadah kepada Allah tanpa mengetahui sejarahnya. Seperti ibadah solat, kita tahu sejarah baginda mendapat perintah solat pada malam Isra' Mikraj yang asalnya 50 waktu ditukar kepada lima. 

Semoga dengan tahunya sejarah Lailatul Qadar membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan tersebut.

Kisah ini diambil dari kitab Mukashafah al-Qulub (Penenang Jiwa) bab 103 karangan Imam al-Ghazali.