MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-Nya ialah lidah.
Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Qur'an, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia.
Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.
Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik.
Tujuan kemudahan itu dicipta untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, sama ada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri.
Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana.
Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.
Kita perlu mengetahui bahawa fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang.
Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan atau membencanakan sesuatu pihak yang dilakukan sama ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerak-geri dan sebagainya, sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan.
Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10 - 11 tafsirnya:
"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan."
Diriwayatkan daripada Khuzaifah Radiallahuanhu, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah.
Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkann ya kepada orang lain.
Memang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, sama ada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai kopi dan sebagainya.
Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburuk-burukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya.
Maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu, kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasiq dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama.
Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat, ayat 12 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain."
Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata.
Maka jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, yang mana cerita, berita atau khabar-khabar angin itu boleh menyebabkan hati orang yang dijadikan bahan cerita itu tidak tenteram, mencemar maruah dirinya dan sebagainya.
Maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangka n lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ianya tidak lain hanyalah menggembirakan orang yang berhati busuk.
Sedangkan sebenarnya mereka itu telah terpedaya oleh syaitan sehingga pandangan mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah, tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar.
Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebar khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak.
Maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan ketenteraman awam.
Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu peristiwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang lebih dikenal dalam kitab-kitab Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai hadisul ifki bilamana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha.
Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha telah difitnah oleh orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu.
Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Muaatal.
Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat 11 - 20, Surah An Nuur sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam ayat 19, Surah An Nuur tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian."
Membuat fitnah itu dipandang berat dan dilarang oleh agama Islam, sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak.
Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada Hari Kiamat.
Akhirnya peliharalah diri kita dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur-menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah.
Semoga dengan amalan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subahanhu Wata'ala dalam Surah Al- Baqarah ayat 191, tafsirnya:
zaharuddin group
Hadith yang di riwayatkan oleh Ibnu Abbas, katanya: ketika Rasulullah s.a.w melalui dua buah kubur baginda bersabda:
“Ingatlah, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, tapi bukan kerana melakukan dosa besar. Seorang diseksa kerana dahulunya dia suka membuat fitnah dan seorang lagi kerana tidak membersihkan dirinya daripada air kencing.”
0 komentar:
Posting Komentar