Kisah Thabit bin Qais yang bersuara lantang


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepada baginda dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu boleh terhapus sedangkan kamu tidak menyedari." (Surah al-Hujurat:2)

Sahabat-sahabat sekalian, Thabit bin Qais R.A amat terkesan dengan firman Allah S.W.T ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Kerana itu, setiap kali beliau solat secara berjemaah di Masjid Nabawi, beliau akan mengelak daripada bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Beliau khuatir, suaranya yang lantang dan tinggi daripada suara Rasulullah S.A.W akan menyebabkan amalannya terhapus dan menjadi ahli Neraka. Masya-Allah, sungguh hebat keimanan Thabit bin Qais R.A.

Rasulullah S.A.W merupakan manusia yang paling baik akhlaknya. Baginda mengambil berat, kasih dan sayang akan sahabat-sahabatnya. Baginda hairan kerana sudah lama baginda tidak bertemu dengan Thabit bin Qais R.A.

Lalu Baginda Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabat yang lain, "Ke manakah Thabit ibn Qais? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya."


Sahabat-sahabat baginda menjawab, Thabit bin Qais R.A mengelak untuk berjumpa dengan Rasulullah S.A.W kerana takut meninggikan suara dan bersuara kasar dengan Nabi. 

Kerana itu, Thabit akan menjadi ahli Neraka.
Rasulullah S.A.W berkata, "Sesungguhnya dia (Thabit) ialah ahli Syurga. Bukan ahli Neraka."

Thabit ibn Qais R.A berperanan sebagai pemidato dan jurucakap bagi Rasulullah S.A.W. Suaranya yang lantang dan pandai berpidato menjadikan beliau sesuai menggalas tugas tersebut. 

Ini juga menjadikan bukti bahawa Rasulullah S.A.W bijak menggunakan kekuatan sahabat-sahabat baginda pada tempatnya. Hasilnya, Islam menjadi perkasa dan tersebar luas ke pelusuk dunia.

Thabit bin Qais R.A mati syahid sepertimana yang Rasulullah janjikan kepada beliau. Thabit ibn Qais R.A syahid dalam peperangan memerangi Musailamah al-Kazzab semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq R.A.

Beliaulah satu-satunya sahabat yang memberikan wasiat setelah beliau meninggal dunia. Beliau mendatangi sahabat yang lain melalui mimpi dan menyampaikan wasiatnya.

Kesimpulan

Kita telah melihat bagaimana peribadi hebat sahabat Rasulullah S.A.W yakni Thabit. Beliau mempunyai ketaqwaan yang tinggi. 

Beliau dan juga sahabat-sahabat baginda yang lain begitu patuh dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Lihatlah, Thabit ibn Qais R.A. Beliau sanggup meminggirkan diri daripada bertemu kekasih Allah, kerana takut menjadi ahli Neraka.

Kedua, kita juga jelas bahawa Rasulullah S.A.W begitu sayang akan sahabat-sahabat baginda. Baginda mengambil berat akan mereka. Jika mereka tidak kelihatan di depan mata Rasulullah, Rasulullah S.A.W pasti bertanya. Ini menunjukkan keprihatinan Rasulullah.

Sungguh indah peribadimu ya Rasulullah. Allahumma Solli 'Ala Muhammad.I Luv Islam

0 komentar:

Posting Komentar